Jangan Peduli Cakap Orang Jika Mahu Tampil Lebih Yakin

Perasaan rendah diri dan tidak yakin selalu menjadi penghalang utama para wanita di luar sana daripada mencuba pelbagai fesyen yang sedang trending hingga kadang kala perasaan tersebut memberi tekanan psikologi yang memudaratkan, lebih-lebih lagi bagi wanita yang berbadan besar. Jadi berhenti menyalahkan diri sendiri dan ikuti tips-tips yang ingin Marhuna kongsikan!

Cari Idola Sebagai Inspirasi

Anda harus sentiasa memilih pakaian yang sesuai mengikut fizikal anda. Sebagai contoh, jika anda berbadan gempal, anda tidak sesuai memakai pakaian yang terlalu sendat hingga menyukarkan anda untuk bernafas. Jadi pilih sesiapa sahaja yang anda rasakan sesuai untuk dijadikan sumber inspirasi dalam berfesyen sebagai rujukan seperti Adele atau Melissa McCarthy misalnya.


Kredit : elle.com

Sentiasa Menjaga Kebersihan & Kesihatan Diri

Mungkin anda sering mendengar ungkapan inner beauty tetapi tahukah anda menjaga kebersihan dan kesihatan diri merupakan salah satu inner beauty yang harus sentiasa diberi keutamaan. Luangkan sedikit masa untuk berkunjung ke spa untuk memanjakan diri dan menenangkan minda. Selain itu, anda juga boleh mengamalkan pengambilan supplement untuk membantu tubuh anda sentiasa sihat selain mengamalkan senaman tiga kali seminggu.

Berfikiran Positif

Kita semua adalah sebaik-baik ciptaan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jangan sesekali kita biarkan pendapat orang lain menganggu tindakan kita kerana kecantikan adalah hal yang subjektif. Anda berhak atas kehidupan anda sendiri. Ini kerana you are beautiful just the way you are!

Kisah Tess Holliday Menggegar Dunia Peragaan

Ryan Maegen Hoven atau lebih dikenali sebagai Tess Holliday merupakan peragawati berbadan besar yang sering menjadi sorotan dunia peragaan. Lahir dan dibesarkan di Mississipppi, Tess pernah ditertawakan sebuah agensi pengiklanan kerana terlalu besar dan pendek ketika berusia 15 tahun. Tidak berputus asa, Tess berpindah ke Los Angeles tidak lama selepas itu untuk mencari peluang yang lebih luas buat dirinya. Berkat usaha dan keyakinan, kini Tess telah menjadi salah seorang model berbadan besar paling berjaya menurut Vogue Italia.


Kredit : teenvogue.com

Panduan Bergaya Untuk Wanita Bertubuh Besar

• Gunakan Rona Gelap
Warna menjadi elemen penting untuk mengalihkan pandangan insan di sekeliling. Warna gelap memberi ilusi lebih kecil, tetapi jangan hadkan pemilihan kepada warna hitam saja. Hijau zamrud, biru tentera laut, merah hati, ungu manggis dan oren mustard juga dikategorikan dalam warna gelap.

• Gunakan Solekan Yang Sesuai
Tidak perlu keterlaluan dan cukup sekadar mengenakan solekan asas yang ringkas, ia juga dapat membantu menyerlahkan lagi penampilan diri. Tidak kiralah anda memiliki tubuh bersaiz besar atau sebaliknya, aspek solekan juga membantu anda tampil cantik dan sedap mata memandang.

• Elakkan Turtleneck
Pakaian yang mempunyai turtleneck akan membuat wajah anda lebih tembam dan berisi.

• Hindari Asesori Pinggang
Aksesori pinggang yang terlalu banyak akan memperlihatkan pinggang anda semakin lebar.

Sentiasa hargai diri anda kerana anda mampu mengubahnya!

Sumber:
thebalanceeveryday.com
mstar.com.my
hmetro.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X