5 Tips Agar Anak Suka Membaca Sejak Kecil

1. IKUT KESESUAIAN UMUR

Bayi dan anak kecil memang cepat membesar. Namun, perkembangan otak mereka juga adalah amat spesifik. Menurut Children’s Book Council, mereka mempunyai tahap yang berbeza untuk memahami sesebuah cerita mahupun gambar.

  • Bayi 0-2 tahun: Mereka sukakan buku yang berwarna terang, objek yang besar dan berulang. Buku bergambar tanpa sebarang perkataan juga amat sesuai untuk bayi kerana keupayaan visual mereka masih terhad.
  • Anak 2-4 tahun: Anak kecil pada usia ini gemarkan ‘nursery rhyme’ atau pantun berbentuk nyanyian. Jika memilih buku cerita, pastikan ianya ringkas dan mempunyai jalan cerita yang boleh diramal. Selain itu, buku berbentuk permainan seperti ‘pop out’ juga sesuai untuk tahap kemahiran mereka.
  • Anak 4-6 tahun: Dalam usia ini, anak-anak lebih gemarkan buku berbentuk cerita yang agak kompleks. Selain itu, ada juga yang gemarkan buku berbentuk bukan fiksyen yang berkisarkan bagaimana tumbuhan hidup dan sebagainya. 

2. MENJAWAB PERSOALANNYA

Ada anak yang jenis suka bertanya dan ini sebenarnya adalah satu sikap yang baik. Keinginan untuk mengetahui tentang sesuatu perkara ini patut disalurkan kepada topik buku yang sesuai.

Maka, anda boleh mencari buku berunsur fakta (non-fiction) seperti sains bergambar. Jangan ingat anak-anak kecil tidak boleh memahami sains seperti perubahan beluncas kepada kepompong dan rama-rama. Kalau dah minat, mereka akan ‘korek’ semua maklumat secara terperinci. Malah, mereka boleh menghafalnya dan mengejutkan anda!


Kredit : Redtri.com

3. CARI PENULIS / TEMA YANG DIMINATI

Kadangkala, anak kecil amat minat terhadap satu-satu buku sahaja dan tidak mahu membaca buku lain. Apa yang anda boleh buat adalah mencari penulis atau penerbitnya dan cari buku lain yang dihasilkan oleh mereka. Kemungkinan besar mereka akan cepat serasi dan menyukai cerita tersebut juga.

Ini kerana, mungkin ada stail tertentu yang diminati oleh si anak dalam buku tersebut – sama ada gaya bahasanya, ilustrasinya, atau sesuatu yang mereka sukar beritahu kita.

Samalah macam kita menonton pelakon dan drama bersiri di televisyen!

4. PERISTIWA YANG BERLAKU SEKELILING MEREKA

Selain kisah-kisah dongeng, ada banyak buku cerita yang mengisahkan tentang kehidupan yang berlaku dalam dunia anak kecil.

Contohnya, ‘hari pertama sekolah’, ‘mendapat adik baru’, ‘jatuh sakit’, dan ‘pertama kali ke klinik gigi’. Selain dapat mengaitkannya dengan pengalaman mereka, ada masanya cerita ini boleh menjadi pendorong untuk mereka menghadapi hari-hari tersebut dengan lebih baik.

5. KARTUN KEGEMARAN

Anak-anak kecil selalunya memang mudah untuk diajak membaca. ‘Umpan’ saja dengan karakter kegemaran mereka seperti Frozen, Dora, SpiderMan, atau Upin & Ipin.

Bagi anak-anak yang lebih besar dan lebih tertarik kepada televisyen atau video berbanding buku, anda boleh perkenalkan bahan bacaan yang sesuai dengan usia mereka. Contohnya novel Harry Potter atau komik pahlawan berunsur Islamik.

Namun, sesuaikan teks dengan tahap kebolehan mereka supaya anak-anak cepat memahami jalan ceritanya dan dapat ‘enjoy’ membacanya dengan lebih seronok.


Kredit : tvcritism2013.blogspot.com

IBU BAPA PUN MESTI TURUT SERTA!

Walau apa pun jenis buku untuk anak yang dipilih, pastikan ibu bapa memainkan peranan aktif masing-masing dalam membantu anak-anak ‘hadir’ dalam cerita tersebut.

Tanyakan soalan, bina imaginasi dan wujudkan persekitaran yang selesa untuk anak-anak. Dengan cara ini, tentu mereka akan rasa terhibur dan suka membaca tanpa dipaksa.

Sumber : Siraplimau.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X