Tahu Pakai Baju Kurung, Tapi tak tahu sejarahnya? Ini Asal Usul Baju Kurung

Sejarah Baju Kurung

Baju kurung pakaian tradisional untuk wanita Melayu. Ia menjadi pakaian rasmi untuk negara Malaysia dan Brunei, juga boleh didapati di Indonesia, Singapura dan Thailand. Sesuai dipakai oleh semua golongan masyarakat tidak mengira usia. Baju Kurung juga digunakan untuk menghadiri majlis perkahwinan, majlis agama, dan majlis rasmi. Di Malaysia, secara amnya seluruh wanita melayu memakai baju kurung sebagai pakaian tradisi ini termasuk pakaian rasmi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Baju Kurung yang tak lapuk dik hujan tak lekang dek panas,

Dari segi sejarahnya, baju kurung dikatakan mempunyai kaitan dengan pakaian ‘djallabiyah’ yang berasal dari Mesir di mana ia diertikan sebagai baju longgar.

Tenas Effendy (1989) telah mengumpul ungkapan orang tua di daerah Riau, daerah rumpun Melayu yang terdekat dengan Malaysia (Semenajung Tanah Melayu) tentang baju kurung. Baju kurung yang digambarkan oleh beliau ialah baju kurung teluk belanga atau baju kurung yang dijahit dengan jahitan tulang belut di bahagian leher yang nampak halus dan rapi. Pakaian ini merupakan pakaian wanita yang bersopan dan juga pakaian setiap ahli dalam golongan masyarakat untuk pelbagai majlis dan adat.

Mengikut Siti Zainon (2006) pula, baju kurung ialah pakaian yang popular di kalangan orang Melayu. Pengertian kurung mempunyai persamaan dengan konsep pakaian menutup anggota tubuh. Ciri ini didapati menepati dengan konsep cara Melayu selepas kedatangan Islam. Beliau juga telah mendapati pelbagai jenis kurung mendapat inspirasi daripada baju kurung, antaranya ialah Kurung Pahang, Kurung Kedah, Kurung Cekak Musang dan Kurung Teluk Belanga. Kini baju kurung yang labuh paras lutut hanya disebut sebagai baju kurung sahaja dan telah dikhususkan untuk pakaian wanita.

Baju kurung dianggap popular dipakai oleh kaum wanita. Kurung membawa erti ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang.

Ciri Baju Kurung Zaman dahulu

Baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita melayu zaman dahulu labuhnya hingga ke lutut dengan satu kocek di kiri atau kanan atau pun tanpa kocek yang dipadankan bersama kain samada kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini.

Wanita Johor Melayu zaman dahulu. memadankan baju kurung dengan kain dagang luar, iaitu sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung untuk menudung kepala dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar berjalan. Kain dagang luar ini dikenakan di pinggang seperti kain samping lelaki dengan ombak-ombaknya di bawa ke rusuk kiri dan disaukkan pada lengan atau dipegang dengan tangan. Kain mantul, iaitu sehelai selendang pendek yang bertekat dengan kelingkan emas biasanya akan disangkutkan ke bahu apabila si pemakai mengenakan baju kurung dengan kain dagang luar ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

X